MIRI: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenal pasti kawasan berisiko di sekitar Miri dan memaklumkan pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Miri hari ini, menyatakan bahawa daripada kawasan yang terjejas akibat bencana, sembilan buah rumah berada dalam keadaan kritikal dan penduduknya masih belum dibenarkan pulang.
Bagaimanapun jelasnya, bagi kawasan yang lebih selamat, penduduk telah mula kembali ke kediaman masing-masing.
“Sehubungan itu, pihak polis telah menutup operasi kawalan yang sebelum ini dilaksanakan bagi menjamin keselamatan harta benda dan mengawal pergerakan penduduk.
“Sebagai langkah pemulihan, operasi pembersihan kawasan akan dijalankan pada 22 Februari 2025 (Sabtu) dengan tumpuan utama di Kampung Lereng Bukit, manakala Kampung Haji Wahed tidak terjejas dan masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGO, sektor swasta serta sukarelawan.
Seramai 1,058 sukarelawan telah menyertai gotong-royong ini dan sebanyak 125.56 tan sisa pepejal berjaya dikumpulkan, mencerminkan semangat kebersamaan dalam membantu komuniti yang terjejas.
Sebagai kesinambungan usaha ini, Program Gotong-Royong Pembersihan Pantai akan diadakan pada 23 Februari 2025 (Ahad) bagi membersihkan kawasan pantai yang tercemar akibat sisa buangan yang dihanyutkan oleh banjir dan ombak laut.
Dato Sri Lee turut menzahirkan penghargaan kepada JPBB Miri, agensi kerajaan, NGO, sektor korporat, dan semua sukarelawan yang telah memberikan sumbangan tenaga, peralatan, dana serta keperluan asas bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Beliau berharap usaha sebegini dapat diteruskan bagi memastikan Miri sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS