Radio Boleh Main Peranan Tangani Perubahan Iklim

Disiarkan pada 18 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Radio bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga alat komunikasi berpengaruh dalam menyebarkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan usaha kelestarian alam sekitar.

Bertemakan “Radio dan Perubahan Iklim,” sambutan tahun ini memberi penekanan kepada peranan radio dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai kesan pemanasan global, bencana alam, dan amalan lestari.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan bahawa radio memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat serta menggalakkan tindakan kolektif bagi menangani krisis iklim yang semakin mendesak.

“Perubahan iklim bukan lagi isu alam sekitar semata-mata, tetapi krisis global yang memberi kesan kepada kehidupan kita semua.

“Fenomena cuaca ekstrem, peningkatan suhu global, pencemaran udara dan bencana alam semakin kerap berlaku.

“Di sinilah radio berperanan menyebarluaskan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan serta pemuliharaan alam sekitar,” katanya semasa merasmikan Program Radio Sedunia 2025 (KITA 1.0) yang berlangsung di Pekarangan STB Visitor’s Information Center Miri pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee menyeru stesen radio, penyiar, dan pihak berkepentingan untuk terus menyebarkan maklumat tepat mengenai perubahan iklim, menggalakkan gaya hidup mesra alam, mempromosikan dasar kelestarian, serta memberi ruang kepada masyarakat dan pakar untuk membincangkan isu ini demi meningkatkan kesedaran dan tindakan.

Tambahnya, keunikan radio sebagai medium yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, menjadikannya platform komunikasi yang efektif dalam menyampaikan maklumat penting mengenai amalan lestari serta usaha mitigasi perubahan iklim.

“Saya yakin radio akan terus menjadi pemangkin perubahan dalam menangani isu perubahan iklim.

“Dengan pendekatan inovatif, inklusif dan strategik, radio boleh menjadi penggerak utama dalam membentuk masyarakat yang lebih sedar, bertanggungjawab dan proaktif terhadap kelestarian alam sekitar,” tambah beliau.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Sarawak Wan Azhan Hamat, Pengurus Jabatan Penyiaran Miri Saiful Arini dan tetamu lain.-EDISI UKAS