Miri Perintis Pengangkutan Pintar: Bas Percuma & Terminal Moden Pacu Mobiliti Bandar

Disiarkan pada 18 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Sistem pengangkutan awam di Miri akan terus dimodenkan menerusi inisiatif inovatif yang mesra pengguna.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan adalah menjadi komitmen serta visi dan strategi kerajaan negeri dalam memperkukuh mobiliti bandar ke arah yang lebih mampan.

Katanya, Miri City Smart Bus diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pengangkutan awam yang lebih cekap, mampu milik dan mesra alam.

Jelasnya, inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, terutamanya golongan berpendapatan rendah, pelajar, dan pelancong, malah turut menyumbang kepada usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran karbon.

“Sebanyak 14 bas Volvo baharu dengan kapasiti 33 tempat duduk dan ruang untuk 21 penumpang berdiri disediakan bagi kemudahan awam.

“Bas ini turut dilengkapi dengan teknologi moden seperti Wi-Fi percuma, sistem penjejakan GPS masa nyata menerusi aplikasi SMART CITY, skrin LED yang memaparkan laluan utama, serta tanjakan rendah (low-floor ramps) bagi kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Perkhidmatan ini meliputi lapan laluan utama sekitar Miri, termasuk Permyjaya, Taman Tunku, Senadin, Tudan, Hospital Miri, Sungai Rait-Bakam, Kuala Baram, dan RTM.

“Sehingga Januari 2024, perkhidmatan ini telah mencatatkan 72,329 jumlah pengguna, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama penyampai radio MiriFM RTM Miri di dalam Miri City Smart Bus sempena Program Radio Sedunia 2025 (KITA 1.0) pada Selasa.

Katanya, dalam usaha memperkukuh lagi sistem pengangkutan awam, Terminal Bas Miri Sentral yang terletak di Miri Bypass telah mula beroperasi secara rasmi pada 18 Januari 2025, menggantikan Terminal Bas Pujut.

Terminal baharu ini ujarnya menawarkan pelbagai kemudahan moden, termasuk 12 kaunter tiket, 12 kedai runcit, 14 platform bas, dua kafe, ruang menunggu yang luas dan selesa, serta tandas awam mesra OKU.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi pula, Konsortium Bas Express (Sarawak) Sdn Bhd (KBE) telah memperkenalkan sistem Easybook Terminal Management (ETM) yang membolehkan pembelian tiket secara atas talian, di kaunter dan melalui aplikasi telefon pintar.

Penggunaan kod QR sebagai tiket juga membantu mempercepatkan proses kemasukan dan mengurangkan kesesakan di kaunter.

Terminal ini beroperasi setiap hari dari jam 5:00 pagi hingga 11:00 malam. -EDISI UKAS