PCDS 2030: Cetusan Minda Premier Sarawak Berjaya Bawa Hala Tuju Pembangunan Jelas

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang merupakan cetusan minda Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg telah berjaya membawa hala tuju pembangunan yang jelas kepada Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendekatan dan idea-idea Datuk Patinggi Abang Zohari mempercepat dan mengembangkan ekonomi Sarawak melalui inisiatif ekonomi digital, pembangunan pusat data, tenaga hijau, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.

“Syabas dan tahniah kepada Premier Sarawak dan pasukan kepimpinan beliau yang membuktikan Sarawak memperolehi pendapatan yang sangat tinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Sarawak juga kini menjadi pemain global dan sudah dikenali di seluruh pelosok dunia,” katanya ketika berucap sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menegaskan, pembangunan yang jelas membolehkan Sarawak bergerak ke arah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 berteraskan Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kemampanan Alam Sekitar.

Dalam pada itu Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkata, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di negeri ini menjadi medan pembangunan bakat muda Sarawak dalam pelbagai acara sukan.

Jelasnya, SUKMA memberi peluang untuk anak Sarawak mempamerkan potensi, bakat dan kecemerlangan dalam sukan.

“Saya berharap melalui SUKMA kali ini, atlet kita dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk mengharumkan nama Sarawak.

“Kepada kontinjen Sarawak, berjuanglah dengan semangat kesukanan yang tinggi dengan semangat kesukanan yang tinggi dan buktikanlah bakat anak Sarawak di peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat kebangsaan,” katanya.

Pada masa sama, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyeru kepada semua pihak terlibat untuk bekerjasama dan berganding bahu bagi memastikan penganjuran SUKMA ini berjalan dengan jayanya. -EDISI UKAS