Kestabilan Politik Tonggak Kesinambungan Perancangan, Pembangunan Ekonomi Sarawak

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kestabilan politik menjadi tonggak kesinambungan perancangan dan pembangunan ekonomi Sarawak dalam menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, politik yang stabil penting dalam usaha Kerajaan Sarawak untuk menarik pelaburan asing sebagai pemangkin ekonomi Sarawak.

Menurut beliau, Sarawak bertuah mempunyai barisan kepimpinan yang mengutamakan agenda pembangunan biarpun latar belakang pemimpinnya yang pelbagai termasuk fahaman politik.

“Kita memerlukan Kerajaan Sarawak yang kukuh untuk memastikan kestabilan politik bagi menjamin kesejahteraan rakyat di samping memantapkan ekonomi Sarawak secara jangka panjang.

“Saya menyeru semua pihak terus bekerjasama, berganding bahu dan bersatu hati untuk mengekalkan kestabilan politik demi keharmonian dan kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menambah, kejayaan dan kemajuan yang dinikmati hasil daripada toleransi politik antara pelbagai pihak beserta inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan di samping kestabilan politik yang menjadi tunjang untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Jelas beliau, kestabilan politik juga dapat dilihat dengan keakraban antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa bekerjasama dan menjadi ramuan pembangunan penting.

"Sarawak memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan.

“Saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan akan terus menyediakan peruntukan pembangunan yang secukupnya selaras dengan hak dan status Sarawak sebagai sebuah wilayah,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru Kerajaan Sarawak untuk terus menuntuk hak-hak Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan semula kepada Sarawak termasuk yang belum dilaksanakan sebagai yang dijanjikan.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga berharap komitmen berterusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan khususnya aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pembangunan sempadan dan jaringan jalan raya utama.

Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.-EDISI UKAS