SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Betapuru Digital Sdn. Bhd. dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, UTS, pada Isnin.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh pembangunan modal insan serta memperluaskan kolaborasi dalam bidang penyelidikan teknologi, pendidikan, industri, latihan kemahiran dan pertukaran kakitangan.
Selain itu, MoU ini juga akan membuka lebih banyak peluang latihan dan pendidikan kepada para pelajar UTS.
Menurut pihak UTS, hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi ini telah terjalin hampir setahun dan termeterainya MoU ini akan mengukuhkan lagi sinergi dalam pembangunan teknologi serta pembelajaran di peringkat universiti.
Majlis berlangsung dengan lancar dan menjadi satu lembaran baharu bagi UTS dalam usaha meningkatkan kemahiran serta keupayaan pelajar dan kakitangannya seiring dengan keperluan industri masa kini.
Turut hadir Naib Canselor UTS Professor Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid, Timbalan Naib Canselor UTS Professor Ir. Dr. Mohamad Shahril Osman, Ketua Eksekutif Betapuru Digital Sdn. Bhd Ayden Lim Phong Hian serta Pengarah Urusan Betapuru Digital Sdn. Bhd Lee Kah Chuong.-EDISI UKAS