Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan DUN Sarawak Ke-19 Berjalan Lancar

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 berjalan lancar pada Isnin.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir menyempurnakan istiadat tersebut di Dataran Perbarisan DUN Sarawak di sini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang dan tetamu-tetamu kenamaan lain.

Istiadat pembukaan bermula dengan perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormatan utama dengan kekuatan anggota seramai 105 orang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai oleh DSP Jiffry Ardin, manakala Inspektor James Rodney sebagai pegawai panji.

Kawalan kehormatan utama ini diiringi oleh pancaragam PDRM dengan kekuatan seramai 40 anggota diketuai oleh Pengarah Pancaragam, Inspektor Frankie Billy.

Selesai istiadat pembukaan, atur cara diteruskan dengan pemasyhuran oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebelum mesyuarat ditangguhkan.

Sementara itu, Persidangan DUN Sarawak Ke-19 yang bermula 6 hingga 15 Mei ini menyaksikan lima Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan.

Antaranya ialah RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024, RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024, RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024, RUU Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024 dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.

Daripada kelima-lima RUU itu, RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 merupakan RUU baharu yang akan dibentangkan pada persidangan DUN kali ini.-Edisi UKAS