Awla Dris Serikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dan Hari Bomba 2024 Di Simunjan

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS



 

SIMUNJAN: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 di Balai Bomba Dan Penyelamat, di sini pada Ahad.

 

Semasa berucap dalam majlis tersebut, Awla menzahirkan ucapan Selamat Hari Bomba Sedunia kepada seluruh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Simunjan atas khidmat dan bakti mereka kepada masyarakat.

 

"Semoga semua anggota balai bomba Simunjan sentiasa diberi kesihatan untuk berbakti kepada masyarakat di Simunjan.

 

"Mudah-mudahan di sini kita dihindarkan serta dijauhkan daripada bala yang besar di kawasan kita," katanya.

 

Dalam pada itu, turut disampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak warga BBP Simunjan dan cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Awla Dris.

 

Hadir sama ialah Ketua Balai, Balai Bomba Dan Penyelamat Simunjan Nazari Harun, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli, Kapitan Liew Jau Kheng, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi dan Penghulu Ahmad Dol bin Simpol.-EDISI UKAS