Jambatan Baharu Akan Dibina, Hubungkan West Bank Ke Pusat Bandar Sibu

Disiarkan pada 17 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Bandar Sibu akan menyaksikan satu lagi langkah besar dalam pembangunan infrastruktur dengan cadangan pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 400 meter yang akan menghubungkan kawasan 'West Bank' ke pusat bandar.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada visi besar pembangunan wilayah ini yang diusulkan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, dan mendapat sokongan padu daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, cadangan pembinaan jambatan ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana kerajaan Sarawak telah berjaya melaksanakan beberapa jambatan besar yang jauh lebih mencabar, seperti Jambatan Batang Lupar.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee untuk berganding bahu dan bekerjasama merealisasikan projek ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sibu.

"Jika kita mampu menyiapkan jambatan-jambatan besar seperti Batang Lupar, saya yakin jambatan sepanjang 400 meter ini pasti bukan masalah.

"Jambatan ini akan menghubungkan bukan hanya kawasan Sibu, tetapi juga membuka akses ke kawasan baru menuju ke Dalat dan Mukah.

"Jadi, saya mohon dua pemimpin kita (Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Michael Tiang Ming Tee) yang mempunyai pengaruh di kawasan Sibu, untuk bekerja bersama dalam merealisasikan projek ini, kerana mereka memiliki pengetahuan tentang keperluan dan cabaran tempatan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP 2025 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, pembinaan jambatan ini kelak akan dilaksanakan dengan penuh komitmen dan perhatian terhadap kualiti, setaraf dengan Jambatan Kemena di Bintulu yang terkenal dengan reka bentuk ikonik mirip Jambatan San Francisco, bagi memastikan ia menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan warga Sibu.

"Saya ingin tegaskan di sini, kita akan melaksanakan apa sahaja yang kita rancang.

"Setakat ini, belum ada lagi negeri lain yang mampu membina 16 jambatan, sekali jalan! Ini merupakan bukti komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam memajukan wilayah ini," tegasnya lagi.

Terdahulu, Kaunselor Kelvin Lau dalam ucapan aluannya telah mencadangkan agar satu projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Sibu Westbank ke pusat bandar Sibu dipertimbangkan untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan di kawasan tersebut.

Majlis penuh kemeriahan itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Michael Tiang Ming Tee selaku Naib Presiden 3 SUPP serta Datuk Dr Annuar Rapaee.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Setiausaha Pengelola SUPP Datuk Mathew Chen Chin Kong, ADUN Bukit Assek selaku Naib Presiden 4 SUPP Chieng Jin Ek, ADUN Meradong selaku Naib Presiden Parti 1 SUPP Datuk Ding Kuong Hiing, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, rakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa kenamaan yang lain.-EDISI UKAS