Kerjasama Penting Dalam Penganjuran Program

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS





SIMUNJAN: Semangat kerjasama amat penting dalam menjayakan penganjuran sesebuah program.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, ia mampu mengukuhkan semangat berpasukan serta mengeratkan silaturahim bagi melaksanakan matlamat seterusnya memberi kesan yang positif kepada komuniti.

 

"Tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga perkumpulan yang sanggup bekerjasama untuk mengadakan majlis seperti ini.

 

"Inilah yang paling bagus yang dapat saya lihat sebuah kampung seperti di Sageng Hilir ini yang mana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Pengurusan Surau serta Ranting PBB dapat digabungkan dan berkumpul sekali dalam majlis yang meriah pada malam ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 yang diadakan di Ruang Legar Surau Darul Ibadah Kampung Sageng Hilir, pada Ahad.

 

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sageng Hilir, Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ibadah Sageng Hilir dan Ranting PBB Sageng Hilir.

 

Ujarnya lagi, ini adalah salah satu cara untuk penjimatan masa serta kos dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim di kalangan komuniti setempat.

 

Awla turut memberi jaminan akan membantu dari segi kewangan bagi memenuhi keperluan bangunan Pusat Sumber Kampung Sageng Hilir yang hampir siap.

 

"Semasa sampai ke sini tadi, saya melihat telah tersergam sebuah pusat sumber yang didirikan di kampung ini.

 

"Saya mengakui bahawa peruntukan yang diberikan untuk pusat sumber tersebut memang tidak mencukupi, jadi saya akan menambah untuk memenuhi apa lagi yang kurang seperti tempat meletak kereta, tempat menjalankan aktiviti, bekalan elektrik dan bekalan air yang akan ditambah dari masa ke semasa.

 

Awla juga turut menyumbangkan sebanyak RM1,000 kepada kumpulan zikir wanita Kampung Sageng Hilir.-EDISI UKAS