Program Jualan Rahmah Bergerak Bantu Ringankan Beban Rakyat

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS




SIBURAN: Program Jualan Rahmah Bergerak yang dilaksanakan merupakan salah satu usaha dalam membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kadar harga barangan.

 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, rakyat perlu mengambil peluang ini terutamanya masyarakat luar bandar yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup.

 

Menurutnya, program yang dilaksanakan di Kampung Patung juga memberi peluang kepada penduduk setempat menjual barangan seperti bahan basah, produk makanan dan kraftangan.

 

“Ini dapat menambah sumber ekonomi penduduk yang rajin membuat kerja seperti bercucuk tanam dan berdagang di kampung. Namun saya harap lebih lagi dari itu dengan menjual hasil bukan sahaja di kampung tapi jual juga di bandar,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Bergerak di sini pada Ahad.

 

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDNK) kerana telah membuat itu sebanyak enam kali di kawasan Tarat.

 

Hadir sama, Pengarah KPDNK Sarawak Matthew Dominic Barin, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek dan Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Serian, Esther Najoh.-EDISI UKAS