SIBU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersetuju untuk melaksanakan kerja mendalamkan Sungai Seduan dan Sungai Antu dengan anggaran peruntukan RM15 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan sekitar.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Clarence Ting memaklumkan bahawa kali terakhir kerja pendalaman Sungai Seduan dilakukan adalah pada tahun 2011.
Selepas 15 tahun, inisiatif ini diambil bagi memperbaiki sistem saliran dan mengurangkan risiko air bertakung dalam tempoh yang lama.
“Kami amat berbesar hati dengan persetujuan JPS untuk melaksanakan kerja ini kerana 41 peratus kawasan perumahan di Sibu bergantung kepada Sungai Seduan untuk sistem saliran.
“Ini satu langkah penting bagi menangani isu banjir,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan di Tanah Mas Hotel, pada Sabtu.
Selain Sungai Seduan, JPS juga akan mendalamkan Sungai Antu, yang bakal memberi manfaat kepada beberapa kawasan yang sering dilanda banjir, termasuk sekitar SMK Kampung Nangka dan SJKC Guong Ann.
“Ini adalah berita baik kerana kawasan yang kerap terjejas akan lebih terlindung selepas projek ini dilaksanakan,” tambahnya.
Selain kerja pendalaman sungai, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM2.5 juta untuk menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng sepanjang 780 meter sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Menurut Kaunselor Clarence, kejadian banjir baru-baru ini menunjukkan bahawa masalah utama bukan hanya ketinggian air, tetapi juga tempoh air bertakung yang terlalu lama.
Dalam kejadian terkini, air banjir mengambil masa antara lapan hingga sembilan hari untuk surut, satu tempoh yang luar biasa panjang.
Dalam perkembangan lain, kerja membaik pulih jalan runtuh di perumahan Rantau Panjang Jaya dijangka menelan kos RM7 juta, yang akan diperoleh daripada tabung bencana.
Menurut Kaunselor Clarence, proses pembaikan akan melibatkan pemasangan cerucuk (sheet piling) bagi menstabilkan kawasan yang terjejas.
Faktor utama yang menyebabkan jalan runtuh masih dalam siasatan, namun hakisan tanah di bawah pagar sepanjang parit dipercayai menjadi penyumbang utama.
“Kami telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani isu ini dan sudah mengemukakan permohonan peruntukan.
"Pembaikan struktur seperti ini memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan dengan segera,” jelasnya.
Dalam usaha berterusan mengurangkan risiko banjir di Sibu, kerajaan katanya juga merancang untuk menaikkan aras jalan di kawasan perumahan Pulau Li Hua sebagai sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kami akan mengemukakan rancangan kepada kerajaan dan kemudian menaik taraf semua jalan di kawasan tersebut bagi memastikan masalah banjir dapat dikurangkan pada masa depan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.-EDISI UKAS