LUNDU: Seramai 100 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima bantuan kelengkapan sekolah dalam Program Kembali Ke Sekolah 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Mahligai Gading di sini pada Ahad.
Program anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu itu turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada 100 pelajar terawal yang hadir.
Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Pemuda PBB Cawangan Tanjong Datu atas inisiatif yang membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Program ini merupakan usaha tahunan bagi memastikan pelajar di kawasan ini mendapat keperluan asas persekolahan dengan lebih baik,” katanya.
Majlis yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang itu dihadiri oleh kira-kira 130 orang, termasuk ibu bapa dan ahli komuniti setempat. -EDISI UKAS