Dato Doris Sophia Umum Peruntukan Pembangunan Kampung Munggu Ridan

Disiarkan pada 16 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


PANTU: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Doris Sophia Brodi, menzahirkan komitmennya terhadap pembangunan komuniti dengan mengumumkan peruntukan bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Munggu Ridan dalam Program Ngopi-Ngopi Prihatin Rakyat yang diadakan di Kampung Munggu Ridan, Pantu pada Sabtu.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penyediaan akaun rasmi JKKK bagi memastikan penyaluran dana berjalan dengan lebih teratur dan telus.

Beliau turut menyeru penduduk setempat agar terus bersatu serta bekerjasama dengan pejabat kerajaan dalam memastikan pembangunan yang berterusan dan kesejahteraan masyarakat dapat dicapai.

“Kerjasama antara kepimpinan dan rakyat amat penting dalam memastikan segala usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Dengan adanya peruntukan ini, saya berharap ia dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk Kampung Munggu Ridan,” ujar beliau.

Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong, Penghulu Kawasan Pantu Ubeng Empeni serta Penghulu Cina Kawasan Rapak Lee Thong Sen.

Program Ngopi-Ngopi Prihatin Rakyat ini merupakan salah satu inisiatif bagi mendekatkan kepimpinan dengan rakyat serta menyediakan platform bagi masyarakat menyuarakan keperluan mereka secara langsung kepada wakil rakyat.

Dengan adanya sesi sebegini, diharapkan segala isu yang dibangkitkan dapat ditangani dengan lebih efektif demi kesejahteraan rakyat di kawasan Sri Aman. -EDISI UKAS