Pendidikan Perlu Diberi Perhatian Masyarakat Luar Bandar

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bidang pendidikan merupakan fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat luar bandar.

Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta berkata, ini kerana bidang pendidikan mampu mengubah nasib keluarga pada masa depan.

"Agenda utama saya menjadi wakil rakyat adalah untuk memastikan anak-anak di kawasan Parlimen Selangau mendapat pendidikan yang terbaik dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

"Melalui pendidikan, suatu hari nanti mereka ini akan mampu mengubah nasib keluarga. 

"Oleh demikian, anak anak dari kawasan Parlimen Selangau yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diberi bantuan secara sekaligus sebanyak RM1200," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Taklimat Isu-isu Semasa di Rumah Maong Anggat di sini baru-baru ini. 

Edwin menambah, selain pendidikan, pembangunan ekonomi juga menjadi fokus utama beliau. 

"Tanaman kelapa sawit dan kopi dilihat dapat mempertingkatkan pendapatan keluarga kerana tanaman ini mendatangkan hasil yang baik dan lebih senang diuruskan," tambahnya.

Dalam program sama, Edwin turut menyampaikan cek kepada lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang bagi kawasan Selangau.. -EDISI UKAS