Kesatuan Kukuh, PRS Sedia Hadapi Masa Depan Lebih Cemerlang

Disiarkan pada 15 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Parti Rakyat Sarawak (PRS) terus memperkukuh kesatuan dalaman dalam usaha memastikan masa depan parti yang lebih kuat dan berdaya saing.

Perkara ini dizahirkan melalui Majlis Makan Malam PRS Limbang 2025 yang berlangsung di Dewan St Edmund, Limbang pada Sabtu.

Majlis anjuran PRS Bahagian N80 Batu Danau dengan kerjasama PRS N79 Bukit Kota itu menyaksikan kehadiran 385 orang, termasuk hampir semua pemimpin tertinggi parti dari seluruh Sarawak, sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan), Dato Majang Renggi, yang mewakili Pengerusi PRS, Datuk Joseph Salang, menegaskan bahawa kekuatan PRS terletak pada kesatuan ahlinya.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. PRS harus terus bersatu agar kita mampu menghadapi cabaran politik dan kekal relevan dalam memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut menekankan bahawa majlis ini bukan sekadar perhimpunan biasa tetapi juga platform untuk mengeratkan hubungan antara ahli parti serta memperkukuh kerjasama dengan agensi, NGO, dan masyarakat setempat demi pembangunan Sarawak.

Menurutnya, PRS yang kukuh dan bersatu akan memastikan parti ini terus menjadi komponen penting dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekaligus menjamin kestabilan politik dan pembangunan di negeri ini.

Majlis ini turut disifatkan sebagai bukti sokongan padu daripada akar umbi terhadap kepimpinan PRS, yang dilihat sebagai asas penting dalam memperkuatkan parti bagi menghadapi cabaran politik masa depan.

Selain kehadiran pemimpin utama parti, majlis ini turut disertai wakil-wakil NGO, ketua masyarakat, dan pemimpin kaum Iban setempat, yang mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Limbang.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai, beberapa Timbalan Menteri Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta Ketua Masyarakat Iban Limbang, Temenggong Willie Marum Liaw.

Dengan kesatuan yang semakin kukuh, PRS kini berada pada landasan yang lebih mantap untuk terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam landskap politik Sarawak. - EDISI UKAS