Pengurusan JKKK Perlu Sistematik

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) yang teratur dan sistematik penting dalam usaha membawa pembangunan yang rancak ke kawasan kampung masing-masing.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman berkata, sesebuah JKKK harus mempunyai data yang lengkap bagi merancang segala pembangunan di peringkat kampung.

"Justeru, JKKK perlu menyediakan profil kampung untuk tujuan rujukan pelbagai agensi kerajaan terutamanya Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Taklimat Pengurusan Ahli JKKK Kampung Kawasan Semeba anjuran Pejabat Daerah Kecil Padawan di sini pada Ahad.

Sebanyak lapan kampung di Zon Semeba terlibat dalam sesi taklimat pengurusan JKK Kampung yang merupakan pertama kali melibatkan kesemua JKKK.

Fazzruddin menambah, usaha Pejabat Daerah Kecil Padawan dalam melaksanakan program taklimat pengurusan kampung itu harus disokong bagi memastikan semua ahli JKKK memahami peranan masing-masing.

Katanya, pelbagai inisiatif dan pendekatan dibawa oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam usaha meramcakkan pembangunan di seluruh Sarawak.

"Ini termasuk mencari jalan dan cara untuk menambahkan pendapatan Sarawak seterusnya membangunkan negeri ini secara keseluruhan," katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kuching mewakili Residen Bahagian Kuching, Solfi Jebal, Pegawai Tadbir merangkap Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Sapong, Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Dirop, Pemanca Kawasan Padawan, Raymond Jihap serta barisan KMKK di Daerah Kecil Padawan.-EDISI UKAS