Tiket AirBorneo Berpatutan, Fokus Tambang Murah Untuk Rakyat

Disiarkan pada 15 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo komited menawarkan harga tiket penerbangan yang berpatutan bagi memastikan rakyat negeri ini menikmati perkhidmatan tambang murah.

Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menegaskan bahawa aspek harga tiket yang mampu milik kekal menjadi keutamaan utama AirBorneo.

“Memang kita fokus kepada harga tiket, tiket jangan mahal gilak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Menurut beliau, AirBorneo akan memulakan operasi dengan laluan ke Kuala Lumpur, Singapura, dan Jakarta selepas pembelian pesawat jet pertama sebelum berkembang ke destinasi antarabangsa lain secara berperingkat.

Selain tiga destinasi permulaan, Premier Sarawak turut mendedahkan rancangan syarikat itu untuk memperluaskan laluan ke Hong Kong sebelum menyasarkan penerbangan ke Jepun.

“Sebelum ini, Duta Jepun bertanya mengapa kita tidak terbang ke Jepun. Saya katakan, bila-bila masa, asalkan orang Jepun juga datang ke Sarawak,” katanya.

Langkah ini dijangka bukan sahaja meningkatkan akses perjalanan udara bagi rakyat Sarawak dengan harga berpatutan tetapi juga merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

AirBorneo kini dalam fasa perancangan awal dan bakal menjadi satu lagi penyedia perkhidmatan penerbangan yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat dengan kadar tambang lebih rendah. - EDISI UKAS