Pengamal Media Penghubung Komunikasi Antara Kerajaan Dengan Rakyat

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Pengamal media di negeri ini terus dihargai dan diiktiraf sumbangan mereka sebagai penghubung maklumat dan komunikasi di antara kerajaan Sarawak dengan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, golongan media memainkan peranan dalam menyampaikan segala inisiatif dan dasar kerajaan ke arah pembangunan serta kesejahteraan di negeri ini.

Menurut beliau, ia sangat membantu dalam memupuk kesedaran dan kefahaman yang positif dalam kalangan masyarakat agar lebih terbuka terhadap nilai-nilai integrasi dan pembangunan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan Sarawak.

"Masyarakat terutama sekali di luar bandar semakin ingin tahu tentang agenda kerajaan, sebab mereka tidak biasa dengan maklumat mengenai hidrogen, tenaga baharu dan lain-lain yang berkaitan.

"Saya harap kita dapat adakan beberapa sesi taklimat untuk memperkasakan wartawan-wartawan kita tentang inisiatif kerajaan dan apa yang kerajaan lakukan.

"Pada masa sama, kita juga perlukan para media untuk mendapatkan keluhan rakyat di luar bandar dan laporkan kepada kami supaya setiap tindakan kerajaan mengikuti kehendak masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri UKAS, Media Dan Pegawai Perhubungan Awam (PRO), di sini pada Ahad.

Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Samuel Simon dan Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang.

Sehubungan itu ujarnya, sejumlah dana akan diperuntukkan kepada Kelab Kebajikan Kakitangan UKAS bagi menganjurkan program berkaitan yang berpotensi meningkatkan kualiti serta impak media sebagai penghubung maklumat dan komunikasi dalam masyarakat.

"Menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada 25 hingga 27 Mei ini, kita ada berbaki beberapa minggu lagi untuk kita meriahkan sambutan ini yang mana mungkin kita boleh adakan pertandingan bowling dan perlawanan futsal persahabatan, atau apa sahaja cadangan yang hendak dikemukakan.

"Sememangnya kita akan meraikannya di Kuching, tetapi sekiranya ada peruntukan lebih sikit, kita boleh adakan di zon lain seperti di Sibu atau Miri untuk kita benar-benar meraikan seluruh pengamal media di Sarawak,"katanya.

HAWANA 2024 yang bertemakan 'Etika Teras Kewartawanan Mapan,' adalah perhimpunan terbesar pengamal media yang pertama kali dianjurkan di Bumi kenyalang, di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak menerusi UKAS.-Edisi UKAS