KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak komited untuk merancakkan lagi usaha dan bertindak secara bersama-sama serta bersinergi bagi merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha ini akan bertunjangkan teras Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kita akan terus memperjuangkan hak kesamarataan dan inklusiviti, menangani isu-isu sosial seperti kemiskinan dan kesaksamaan gender, dan menyantuni jurang perbezaan akses kepada pelbagai bentuk kemudahan sosial dan kebajikan bagi memastikan tiada golongan atau kumpulan yang tercicir dan terpinggir dalam usaha untuk membolehkan semua mengecapi hidup yang sejahtera dan berdigniti,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu usaha ini sejajar dengan bermulanya tempoh separuh kedua pelaksanaan PCDS 2030.
“Pelan pembangunan strategik PCDS-2030 yang berteraskan ekonomi hijau, teknologi hidrogen, dan keterangkuman sosial telah meletakkan Sarawak di landasan yang kukuh untuk melonjak ke arah mencapai status wilayah maju.
“Kerana itu, Wanita PBB akan terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selaku Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak dengan penuh keikhlasan dalam memastikan Sarawak terus maju ke arah pembangunan yang mampan, inklusif dan menyeluruh,” ujar beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah, Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak merangkap Setiausaha Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Miro Simuh, serta para perwakilan yang lain. -EDISI UKAS