ADUN Tebedu Serahkan Peruntukan Khas Kepada 61 Penerima

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu telah menyerahkan peruntukan khas tahun 2024 kepada 61 orang penerima dari kawasan beliau.

Difahamkan, cek berjumlah RM49,000 disampaikan oleh beliau sendiri dalam Majlis Penangguhan Program Silabur Utra Trail (SUTRA) di Dewan Serbaguna Kampung  Batu Bedang pada Ahad.

Mendahului senarai penerima cek adalah dua orang Pemanca bidayuh iaitu Pemanca Kane Manung dan Pemanca Jacques Kantung di samping Ketua Kampung dari kawasan Tebedu turut menerima cek yang akan disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan  persatuan di kampung masing-masing.

Dalam program yang sama, Dr Simon turut menyerahkan surat lantikan baharu kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di bawah konstituensi Tebedu.
Mengulas mengenai peranan mereka, beliau menegaskan supaya KMKK yang dilantik dapat mentadbir dan mengurus kampung dengan baik agar kampung seliaan masing-masing dapat membangun dengan peruntukan yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan.

Hadir sama, Pengarah Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pemangku Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Mona Octavia Sulai Alban Meling serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS