KUCHING: Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman telah dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan ini menandakan kesinambungan perkhidmatan beliau dalam jawatan tersebut setelah pertama kali dilantik pada 18 Februari 2022.
Dengan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun, Dato’ Fazzrudin terus memainkan peranan penting dalam sistem penyampaian pentadbiran negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merupakan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tupong.
Majlis Angkat Sumpah yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS