KUCHING: Penurunan yang ketara kadar kemiskinan di Sarawak menjadi bukti kukuh perjuangan yang dibuat kerajaan negeri ini yang bersifat menyeluruh seperti digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu keterangkuman sosial.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, pada tahun 2024, hanya sembilan peratus penduduk Sarawak direkodkan dalam kategori rakyat miskin, membuktikan kehidupan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar telahpun berubah maju.
“Kejayaan yang paling ketara ialah apabila kadar kemiskinan di Sarawak menurun daripada 56 peratus pada tahun 1970 kepada sembilan peratus pada tahun 2024, di mana kalau kita lihat di kawasan luar bandar kini turut mengalami kesesakan jalan raya menunjukkan rakyat kita semakin maju berbanding 20 ke 30 tahun yang lalu.
“Dan apa yang lagi menarik, pada tahun 2023, rakyat yang dikategorikan dalam golongan miskin tegar adalah sebanyak 20,493 orang dan hanya lapan keluarga rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar di Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB itu menambah, usaha berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ternyata bukan sekadar ‘omong kosong’ apabila Sarawak mencatatkan pendapatan tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak RM14.2 bilion berbanding RM5.6 bilion pada tahun pertama kepimpinan beliau pada tahun 2017.
Jelasnya lagi, dengan pendapatan yang besar ini, Kerajaan Sarawak akan lebih komited membangunkan wilayah ini termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar agar pembangunannya lebih mampan serta menyeluruh sekaligus memastikan seluruh rakyat Sarawak menerima manfaat daripada kejayaan ini.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah, Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak merangkap Setiausaha Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Miro Simuh, serta para perwakilan yang lain. -EDISI UKAS