RM7 Juta Diperuntukkan Untuk Bangunkan Kawasan Gua Silabur

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM7 juta bagi membangunkan kawasan Gua Silabur di Lobang Batu, Serian.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Silabur Ultra Trail ( SUTRA) 2024.

Peruntukan RM7 juta yang diumum itu adalah untuk membina jalan ke Gua Silabur termasuk membangunkan kawasan Gua Silabur dengan kemudahan dan fasiliti agar terus kekal menjadi kawasan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Gua Silabur selama ini telah menjadi satu lokasi penting sebagai produk pelancongan Sarawak termasuklah pembangunan industri inap desa di kawasan Lobang Batu Mawang dan Batu Bedang.

Dalam usaha menjadikan Gua Silabur lebih menarik untuk dikunjungi oleh pelancong, Dr Simon memberitahu bahawa kawasan di sekeliling kawasan tersebut harus dibangunkan dengan kemudahan supaya pelancong boleh memilih menginap dan melakukan aktiviti sampingan bersama penduduk kampung nanti.

Mengulas mengenai SUTRA 2024, beliau mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dapat menetapkan tarikh 4 dan 5 Mei setiap tahun sebagai tarikh khas acara tersebut ke dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Pada penganjurannya kali ini, SUTRA 2024 telah berjaya menarik 518 peserta larian dari 19 buah negara yang merupakan satu rekod yang sangat baik sepanjang penganjurannya. 

Hadir sama, Pengarah Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pemangku Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Mona Octavia Sulai Alban Meling serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS