Sarawak Punyai ‘Resipi’ Lengkap Keluarkan 10 Gigawatt Tenaga Menjelang 2030

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sarawak mempunyai ‘resipi’ lengkap untuk mengeluarkan 10 gigawatt tenaga menjelang tahun 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, Sarawak kini memanfaatkan sumber alam seperti tenaga hidro, solar dan biojisim untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut beliau, peluang sasaran ini dapat dicapai semakin cerah memandangkan kerajaan Sarawak sudah membenarkan pihak swasta untuk sama-sama menceburi industri pengeluaran tenaga ini.

“Saya dapat merasakan yang kita akan dapat mencapai sasaran ini dengan cara membangunkan dan melibatkan penglibatan pihak swasta untuk menerokai dengan lebih rancak lagi bidang ini.

“Salah satu caranya adalah kita tukarkan loji arang batu yang kita ada kepada loji yang dijana berasaskan biojisim yang merupakan salah satu tenaga hijau yang ada.

“Kita memang mempunyai potensi dan semua sumber mentah yang ada di Sarawak ini kita perlu manfaatkan sebaiknya untuk merealisasikan perkara ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 anjuran Kementerian beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan memberitahu kerajaan kini telah membuka peluang kepada pihak swasta untuk bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam usaha mencapai sasaran ini.

Dalam majlis itu juga, Datuk Amar Awang Tengah turut menerima kunjungan daripada Datuk Patinggi Abang Zohari serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang tiba pada jam 1.50 petang di samping dif-dif kenamaan yang lain.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Dewan Undangan Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS