LUNDU: Perarakan Chap Goh Mei 2025 di Lundu berlangsung meriah dengan penyertaan 33 kontinjen daripada pelbagai kaum, mencerminkan perpaduan erat antara masyarakat Cina, Dayak dan Melayu di kawasan itu.
Acara yang telah menjadi tradisi sejak tahun 1940-an ini diteruskan lagi selepas terhenti semasa pandemik Covid-19.
Ia bukan sekadar sambutan perayaan tetapi juga sebagai simbol doa bagi cuaca baik serta hasil tuaian yang melimpah sepanjang tahun.
Timbalan Pengerusi Pengelola yang juga Pengerusi Persatuan Chung Hua Lundu, Kaunselor Goh Chin Seng, merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan atas sumbangan RM10,000 melalui Persatuan Chung Hua Lundu bagi menjayakan perayaan ini.
“Kami berharap masyarakat di Tanjong Datu akan terus hidup dalam suasana harmoni, saling membantu, dan mengekalkan kestabilan politik, ekonomi, sosial, serta budaya untuk generasi akan datang,” katanya berucap pada Rabu.
Majlis perarakan ini disempurnakan oleh Azizul dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua kontinjen di Tua Pek Kong Lundu malam berkenaan.
Sambutan Chap Goh Mei di Lundu bukan sahaja menjadi perayaan kebudayaan tetapi juga bukti bahawa perpaduan dalam kepelbagaian terus subur dalam kalangan masyarakat tempatan.
Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup dan Niponi Undek. -EDISI UKAS