AirBorneo Fokus Pembangunan Ekonomi

Disiarkan pada 13 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Syarikat penerbangan baharu negeri ini, AirBorneo, tidak akan memberi tekanan kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemudahan perjalanan bagi penduduk Sarawak serta pelancong dari luar negara.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, AirBorneo bukan sekadar menyediakan pilihan pengangkutan tambahan dengan kadar tambang berpatutan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pelancongan negeri.

“Kita sudah tekankan bahawa kita akan berlaku adil. Jika kita dapat mengekalkan keseimbangan dalam tempoh lima tahun pertama tidak untung, tidak juga rugi, itu sudah mencukupi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak 2025 di Hotel Hilton, Kuching pada Khamis.

Dato Sri Abdul Karim turut menekankan bahawa dengan memiliki syarikat penerbangan sendiri, Sarawak kini mempunyai kuasa untuk menentukan laluan penerbangan dan strategi pemasaran tanpa bergantung kepada syarikat penerbangan lain.

Beliau optimis bahawa AirBorneo akan meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak, sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan pelbagai inisiatif lain.

“Dahulu, kita tidak mempunyai keistimewaan untuk menentukan destinasi dan strategi pemasaran sendiri.

“Namun, dengan adanya AirBorneo, kita boleh membuat keputusan sendiri. Buat masa ini, kita masih mengekalkan destinasi yang sedia ada seperti MASwings, tetapi dalam jangka masa panjang, kita akan menambah baik dan membuka laluan baharu,” ujarnya.

Menolak tanggapan bahawa AirBorneo bakal menjadi ancaman kepada syarikat penerbangan sedia ada, Dato Sri Abdul Karim menegaskan bahawa kehadiran syarikat penerbangan ini akan mencetuskan persaingan sihat dalam industri penerbangan tempatan.

“Saya tidak melihatnya sebagai satu persaingan, sebaliknya semua pihak sedang berganding bahu dalam meningkatkan industri pelancongan dan penerbangan.

“Apabila lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi, ia akan memberi manfaat kepada pengguna kerana mereka akan menikmati perkhidmatan yang lebih baik dan tambang yang lebih kompetitif,” jelasnya.

Menurutnya, AirBorneo akan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional yang kukuh dengan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri, sepertimana model penerbangan negara lain seperti Qatar Airways, Turkish Airlines dan Emirates.

“AirBorneo disokong oleh kerajaan negeri yang berdaya maju dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

"Oleh itu, ia tidak hanya tertumpu kepada keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada pembangunan menyeluruh dalam sektor penerbangan,” katanya.

Tambahnya, Kuching akan menjadi hab utama bagi AirBorneo, yang bakal membuka peluang pekerjaan luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan, penyelenggaraan pesawat dan perkhidmatan berkaitan lain.

Kesan limpahan ekonomi daripada hab ini akan menjadi sangat besar katanya sambil menambah, ia memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam sektor penerbangan.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherinna Hussaini, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor dan tetamu lain.-EDISI UKAS