Bantuan RM1,000 Kepada Mangsa Banjir Disalurkan Dalam Masa Terdekat

Disiarkan pada 13 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bantuan sebanyak RM1,000 per Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas ekoran bencana banjir luar biasa yang melanda Sarawak yang lalu akan disalurkan dalam masa yang terdekat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, bantuan ini nanti akan disalurkan melalui Pejabat Residen Daerah masing-masing yang mana melibatkan seramai 4,966 KIR seluruh Sarawak.

“Bantuan ini akan disalurkan secepat yang mungkin kerana kita sudah menerima peruntukan, cuma kini kita masih menunggu senarai untuk disahkan.

“Sebelum ini kita telah memutuskan bahawa setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diberikan RM1,000 sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, di mana peruntukan telahpun disalurkan kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.8 juta untuk diagihkan untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Hadir menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Dato Sri Nancy Shukri.

Mengulas mengenai penilaian kerosakan ekoran banjir pula, Datuk Amar Douglas memberitahu beliau akan membentangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengeluarkan arahan untuk saya membentangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.

“Ini kemudiannya akan diusulkan ke Pejabat Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memaklumkan, sejauh mana kerosakan yang terjejas akibat banjir.

“Ini termasuklah sekolah, klinik, rumah, hospital, jalan-jalan raya dan sebagainya yang mengalami kerosakan akibat banjir yang lalu,” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron. -EDISI UKAS