YKN Tampil Bantu Mangsa Banjir Di Sarawak, Sumbang RM300,000

Disiarkan pada 13 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tampil untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di Sarawak dengan sumbangan RM300,000 kepada Kerajaan Sarawak.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Bercakap kepada media selepas majlis berkenaan, Dato Sri Nancy yang juga Pengerusi YKN itu memberitahu, sumbangan ini adalah hasil kerjasama erat dengan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap kebajikan mangsa bencana, sebagai tanda solidariti dan sokongan YKN kepada Kerajaan Sarawak serta mangsa banjir yang terjejas.

“Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun JPBNS kerana kita percaya JPBNS lebih mengetahui bagaimana cara untuk menguruskan sumbangan ini nanti kerana kita memahami bahawa RM300,000 ini tidak mencukupi kalau kita melihat keadaan di Bintulu dan Miri serta tempat-tempat lain yang terjejas.

“Oleh itu, dengan berbuat demikian, kita memberikan sumbangan melalui SDMC selaku wakil Kerajaan Sarawak, supaya mereka dapat mengatur kaedah pengurusannya kelak,” ujar beliau.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah dalam sidang media sama memberitahu, JPBNS setakat ini telah menerima RM12.8 juta daripada Pejabat Perdana Menteri, RM10 juta daripada Kerajaan Sarawak manakala RM2.45 juta pula disumbangkan oleh sektor swasta termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron. -EDISI UKAS