Golongan Sasar Di Lubok Antu Terima Bantuan Kerajaan

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


LUBOK ANTU: Golongan sasar di kawasan Lubok Antu telah menerima bantuan daripada pihak kerajaan bagi membantu mereka dalam persiapan menyambut Hari Gawai yang menjelang tiba.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Lubok Antu Zaini Aji dalam Majlis Penutupan  Program Outreach: Santuni Komuniti (POSKOM) dan Majlis Sejambak Kasih Gawai 2024 di sini pada Jumaat lalu.

Difahamkan, seramai 5805 orang penerima bantuan dari kawasan Sri Aman menerima bantuan dan daripada jumlah tersebut, seramai 4810 penerima akan meraikan perayaaan Hari Gawai pada hujung bulan ini.

Simbolik penyerahan kepada 200 orang penerima di mana mereka mendapat sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai sebanyak RM100 telah dilakukan dalam program tersebut manakala penerima selebihnya akan disalurkan kemudian.

Selain daripada itu, sebanyak dua orang penerima menerima Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM3,000 manakala seorang penduduk telah menerima bantuan kerusi roda daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.

Antara lain disampaikan dalam program tersebut ialah Bantuan Geran Pelancaran sebanyak RM5,000 masing-masing kepada dua orang penerima, Penerima Kenyalang Gold Card (KGC) kepada tiga orang penerima dan mendaftarkan tujuh Rakan Strategik KGC. 

Zaini yang mewakili Roy berpesan kepada semua penerima bantuan supaya mereka dapat menggunakan bantuan yang diberikan dengan berhemah dan membelanjakannya untuk tujuan yang betul.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Adana jed, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Warga Emas  Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Haslinda Supu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Moordiah Syed Ali dan tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS