PBB Kekal Stabil dan Bersatu, Fokus Ke Arah Pembangunan Sarawak

Disiarkan pada 13 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak terus mengekalkan kestabilan dan kesatuan dalam menghadapi cabaran politik semasa, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai tunjang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala menegaskan bahawa PBB akan terus memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri, dengan memastikan dasar serta program pembangunan ekonomi dan sosial dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin PBB akan memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri. Dalam konteks ini, pengaruh PBB terhadap rakyat akan terus kukuh kerana parti ini merupakan komponen utama dalam GPS, yang berperanan dalam struktur pemerintahan yang lebih besar.

“Oleh itu, PBB akan terus memberi impak dalam pentadbiran negara, khususnya dalam merangka dasar serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya ketika ditemubual pemberita di pejabatnya, di Baitulmakmur I di sini, pada Khamis.

Dalam aspek pembangunan bakat dan pendidikan, beliau menjelaskan kerajaan negeri menerusi kementerian berkaitan telah memperkenalkan pelbagai program bagi memastikan tenaga kerja Sarawak bersedia menghadapi persaingan global.

“Fokus utama kita adalah memastikan generasi muda mendapat pendidikan dan latihan yang sesuai untuk menyertai pelbagai projek pembangunan ekonomi yang telah dirancang,” jelasnya.

Mengenai cabaran politik pula, beliau menegaskan bahawa kekuatan PBB terletak pada perpaduan dalam kalangan ahlinya yang mana parti itu telah membuktikan kestabilannya selama bertahun-tahun, dan ia akan terus menjadi asas utama dalam politik Sarawak.

“Keutamaan PBB adalah memastikan perpaduan dalam parti terus terpelihara. Sepanjang bertahun-tahun, PBB telah membuktikan dirinya sebagai sebuah parti yang kukuh, stabil dan bersatu.

“Atas dasar itu, PBB berjaya memainkan peranan sebagai faktor kestabilan, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga dalam landskap politik semasa.

"Oleh itu, matlamat utama parti adalah untuk mengekalkan kesatuan ini, menyatukan semua ahli sebagai satu pasukan, serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan tertinggi parti, yang kini diterajui oleh Yang Di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Kesatuan yang telah lama menjadi tunjang kekuatan PBB akan terus dikekalkan untuk memastikan kestabilan politik dan pemerintahan negeri pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa proses pemilihan kepimpinan parti adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi politik yang matang, dan ia dijangka berlangsung dalam suasana harmoni serta penuh semangat setiakawan.

PBB dijangka terus memainkan peranan utama dalam membentuk dasar-dasar negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat Sarawak terjamin, ujarnya menutup temubual. -EDISI UKAS