Rakyat Perlu Sokong & Dukung Usaha Kerajaan

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Rakyat di wilayah ini perlu menyokong dan mendukung segala usaha yang telah dibuat oleh kerajaan baik kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Sarawak sendiri.

Ahli Parlimen Serian, Dato' Sri Richard Riot Jaem berkata, sokongan dan dukungan daripada rakyat amat penting dalam memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Sehubungan dengan itu, rakyat harus bersepakat dan bersatu hati dalam menyokong hasrat dan pembangunan yang dibawa oleh pucuk pimpinan kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Premier Sarawak.

Di Serian, terdapat dua projek yang bakal dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Khidmat Serian iaitu membina baru Surau Darul Taqwa dan projek pemulihan hakisan tebingan sungai. 

Kedua-dua projek ini telah mendapat kelulusan dan kini dalam proses penyediaan peringkat akhir dari agensi pelaksana. 

Pada majlis berkenaan, Dato Sri Richard turut menyampaikan hadiah Pertandingan Pakaian Beragam Kanak-Kanak, Pertandingan Menganyam Ketupat, Pertandingan Bedil dan Lampu Bein dan Pertandingan Memasang Sampin.

Hadir sama, Pemangku Residen Bahagiian Serian Abdul Khalid Manap, Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Serian Mahathir Zaba, Pegawai Tadbir Daerah Serian Dayang Nurhazira, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Saidin Abdul Rahman serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Serian. -EDISI UKAS