AirBorneo Pacu Industri Penerbangan Sarawak, Detik Sejarah Baharu Buat Sarawak

Posted on 12 Feb 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: AirBorneo menjadi nama syarikat penerbangan baharu milik Sarawak secara rasmi selepas pengambilalihan MASwings menerusi majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) sekaligus menjadikan ia satu detik sejarah baharu untuk Bumi Kenyalang hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan pengambilalihan dan penubuhan syarikat tersebut, AirBorneo bertekad untuk mencapai keseimbangan antara keterhubungan, tambang berpatutan dan manfaat ekonomi yang beroperasi secara syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC).

"Dengan ini, hari ini saya berasa bangga untuk mengumumkan bahawa syarikat penerbangan Sarawak kita akan dikenali sebagai AirBorneo.

"AirBorneo bertekad untuk mencapai keseimbangan antara keterhubungan, tambang yang berpatutan, dan manfaat ekonomi.

"Sebagai sebuah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), AirBorneo dapat meningkatkan pengalaman penumpang melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang lebih unggul.

"Ini akan menonjolkan serantau Sarawak yang berprestij sebagai destinasi pelancongan premium," katanya semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Antara Kerajaan Sarawak Dan MAG di sini pada Rabu.

Perjanjian Jual Beli tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga merupakan Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mewakili Kerajaan Sarawak, manakala Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Captain Izham Ismail mewakili pihak MAG.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, AirBorneo akan tetap memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services) di samping terus memperluaskan lagi keterhubungan di Sarawak di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

"AirBorneo akan secara berperingkat memperluaskan destinasi dalam lingkungan empat jam penerbangan, sebelum berkembang lebih jauh pada masa hadapan sekiranya pasaran penerbangan memerlukannya," katanya.

Selain itu, Premier Sarawak menyatakan, AirBorneo sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh akan menjalinkan perkongsian strategik dan perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan antarabangsa lain.

"Ini termasuk Malaysia Airlines, bagi memperluaskan rangkaian laluan dan meningkatkan keterhubungan global untuk Sarawak," jelasnya.

Hadir sama dalam majlis bersejarah itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Kabinet Menteri Sarawak, barisan Kabinet Timbalan Menteri, Ahli Lembaga MAG Dato Amirul Feisal Wan Zahir, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS