Dana RTP RM150,000 Diluluskan, Bina Lorong Rumah Ke Rumah Kampung Batu Mumong Atas

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah meluluskan dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 untuk membina lorong rumah ke rumah di Kampung Batu Mumong Atas.

Menurut beliau, projek pembinaan lorong ini akan bermula pada tahun ini juga sekiranya tiada menghadapi apa-apa halangan supaya penduduknya dapat menikmati kemudahan ini secepat yang mungkin.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis  Sambutan Pra Gawai Dayak di sini pada Sabtu. 

Kemeriahan program tersebut diserlahkan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Rodiyah dalam program tersebut turut meluluskan peruntukan untuk menyediakan dua unit kanopi, kerusi, meja dan peralatan siar raya kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Mumong Atas.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa permohonan untuk membina parit di kampung tersebut akan disenaraikan dalam RTP Ahli Parlimen Batang Sadong Tahun 2025 memandangkan RTP untuk tahun ini telah ditutup.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli, Penghulu Jubin Sili, Pengerusi JKKK Kampung Batu Mumong Atas Ugit Nyuring, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan Rosita Poni, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan Mohammad Zaini Morshidi dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffien. -EDISI UKAS