KUCHING: Projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) fasa dua yang dianggarkan sebanyak RM7.4 bilion dijangka mengambil sekurang-kurangnya lima tahun untuk disiapkan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa cabaran di lapangan berpotensi mempengaruhi kemajuan projek ini.
Menurutnya, antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk faktor geografi serta skop kerja yang luas memerlukan perancangan dan kejuruteraan yang lebih terperinci.
“Kita telah memuktamadkan perjanjian dengan kontraktor pada penghujung tahun 2024, dan kerja-kerja di tapak akan bermula dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia di sini, pada Rabu.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim, Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yau, Ketua Pengarah JKR Malaysia, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail, Pengarah JKR Sarawak, Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, Pengarah JKR Sabah, Datuk Philemon Lajawai, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Sazali Harun, serta Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal.-EDISI UKAS