KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) giat bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pbagi memastikan setiap projek pembangunan infrastruktur berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan atau masalah terbengkalai.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia menjadi platform utama bagi agensi-agensi ini untuk berkongsi kepakaran, mengenal pasti cabaran serta merangka penyelesaian yang lebih berkesan dalam usaha meningkatkan mutu pembangunan infrastruktur negara.
“Kerjasama strategik antara agensi di bawah KKR dengan jabatan teknikal di Sarawak dan Sabah amat penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap, telus, dan saksama.
“Usaha ini bukan sahaja mempertingkatkan kualiti projek, tetapi turut membantu merapatkan jurang pembangunan antara negeri, menyumbang kepada pertumbuhan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Damai Lagoon Resort pada Rabu.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit menjelaskan bahawa perbincangan dalam program ini memberi tumpuan kepada mencari jalan penyelesaian terhadap kelemahan serta kekangan yang boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan projek.
Melalui inisiatif ini ujarnya, perkongsian teknologi, inovasi, dan amalan terbaik dalam pengurusan projek akan menjadi keutamaan, selain membincangkan isu utama seperti hala tuju pengurusan, kemajuan projek, inovasi dalam pembinaan, kaedah kerja, serta peningkatan kompetensi tenaga kerja.
"Antara aspek utama yang diketengahkan termasuk pemindahan pengetahuan dan kepakaran, memastikan keseragaman dalam pelaksanaan projek, mempercepatkan proses pembinaan, serta penyelarasan dasar dalam menetapkan keutamaan pembangunan," katanya lagi.
Untuk rekod, seramai 107 peserta menyertai program ini, terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi serta profesional dari tiga jabatan teknikal utama yang berperanan sebagai rujukan utama dalam projek pembangunan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim, Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yau, Ketua Pengarah JKR Malaysia, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail, Pengarah JKR Sarawak, Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, Pengarah JKR Sabah, Datuk Philemon Lajawai, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Sazali Harun, serta Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal.-EDISI UKAS