Ribuan Tetamu Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Amar Awang Tengah

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Ribuan tetamu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.
 
Datuk Amar Awang Tengah serta isteri menerima kunjungan daripada para tetamu seawal jam 10 pagi sehingga jam 3 petang.
 
Antara tetamu yang hadir ke rumah terbuka itu ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu-tetamu jemputan lain.
 
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang menyifatkan kunjungan daripada masyarakat tanpa mengira agama dan budaya sempena rumah terbuka Datuk Amar Awang Tengah di sini menjadi simbol keharmonian dan keutuhan perpaduan rakyat.
 
“Ini adalah tugas utama Kementerian kita untuk mengadakan majlis atau perayaan seperti ini.
 
“Melalui perayaan seperti ini, kita dapat berinteraksi, memahami, menghormati dan menerima. Sebab itu kami dari Kementerian mengeluarkan konsep "Faham, Hormati dan Terima", barulah kita boleh memperjuangkan keharmonian antara kita.,” katanya ketika ditemui  dalam program tersebut.-EDISI UKAS