Semangat Kerjasama Antara Pemimpin & Penduduk Kampung Penting

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN : Sokongan peringkat akar umbi dalam menerapkan semangat kerjasama bagi membawa kemajuan sebuah institusi kampung memainkan peranan penting untuk menjadi sebuah kampung sejahtera.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, masyarakat di kampung harus menerapkan semangat kerjasama masih kuat kerana ia akan menjadi tunjang kepada kesepakatan bersama ketua kampung.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Sageng Ulu yang berlangsung di Dewan Kampung Sageng Ulu pada Sabtu.

Tambahnya lagi, penduduk kampung telah membuktikan bahawa semangat kerjasama dalam diri setiap penduduk kampung akan membawa keharmonian dalam setiap program yang dilaksanakan dan pastinya akan membawa kejayaan.

Dalam program ini juga, Rodiyah turut meluluskan peruntukan bagi membekalkan dua unit kanopi berserta kerusi, meja dan peralatan siar raya kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sageng Ulu.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi bina baru parit konkrit Kampung Sageng Ulu dengan menggunakan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen Batang Sadong Tahun 2024.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turut menyampaikan berita gembira apabila bersetuju untuk membiayai projek baik pulih Dewan Kampung Sageng Ulu dengan peruntukan sebanyak RM80 ribu dan akan dilaksanakan pada tahun 2025.

Hadir sama, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Pengerusi JKKK Sageng Ulu Buseral Hossin, Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan, Rosita Poni, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan Mohammad Zaini Morshidi dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffien. -EDISI UKAS