Yang di-Pertua Negeri Sarawak Berangkat Menghadap Sultan Pahang

Posted on 11 Feb 2025
Source of News: UKAS


KUANTAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah diperkenankan menghadap Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Berangkat sama ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Turut serta ialah Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Raja Puteri Hajah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz serta Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara dibincangkan, termasuk hal ehwal semasa serta kerjasama dua hala yang boleh dimanfaatkan bersama oleh kedua-dua negeri.

Kunjungan tersebut berlangsung selama satu jam dan diakhiri dengan majlis santapan tengah hari dalam suasana santai.

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menjunjung kasih atas limpah perkenan KDPB Sultan Pahang serta mendoakan agar Al-Sultan Abdullah dan seluruh keluarga dirahmati kesihatan dipermudahkan segala urusan pemerintahan, dan semoga Pahang terus maju serta makmur.