Biro Wanita Mainkan Peranan Penting Dalam Pembangunan Pendidikan Dan Tadbir Urus JKKK Kampung

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Biro Wanita yang ditubuhkan di setiap kampung memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan dan tadbir urus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, ahli-ahli dalam Biro Wanita merupakan tunjang utama kepada setiap penganjuran aktiviti serta pembangunan wanita.

Ujarnya, Biro Wanita juga amat penting dalam meningkatkan pendidikan anak-anak mereka dari peringkat bawah ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus melahirkan masyarakat yang celik ilmu.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Biro Wanita Kampung Duras di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai bidang pendidikan, beliau memberitahu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Bang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyediakan sebuah landasan yang baik dalam meningkatkan pendidikan anak Sarawak.

Melalui penubuhan sebuah Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak, ia dapat membantu anak-anak Sarawak yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan yang baik.

Dalam majlis tersebut, Datuk Dr Jerip turut meluluskan dana Projek Kecil Luar Badar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Biro Hal Ehwal Wanita bagi menjalankan aktiviti tahunan mereka.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Siburan George Harrison, Ketua Kaum Kampung Duras Telly serta Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita Kampung Duras Veronica Petrus. -EDISI UKAS