​​​​​​​JKR Sedang Perhalusi Anggaran Kemusnahan Infrastruktur Akibat Banjir

Posted on 11 Feb 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini sedang memperhalusi anggaran kemusnahan infrastruktur akibat banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mendedahkan jumlah tersebut agak besar susulan bencana banjir yang melanda Sarawak adalah luar biasa.

"Memang ada dilaporkan kemusnahan infrastruktur akibat banjir yang melanda Sarawak dan kali ini memang banyak.

"Kali ini banjir luar biasa, hujan turun pun luar biasa, cerun-cerun banyak runtuh.

"Anggarannya besar dan sedang diperhalusi," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, Sarawak kini memerlukan peruntukan khususnya daripada kerajaan pusat untuk membaiki dan membina semula infrastruktur yang rosak.

"Memang ada peruntukan daripada agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Kita juga perlu berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

Sementara itu Dato Sri Alexander berkata, tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk memberi penerangan kepada Premier Sarawak berhubung pelaksanaan projek-projek di Sarawak.

Katanya, kementerian juga mendapatkan pandangan daripada Datuk Patinggi Abang Zohari berkenaan penambahbaikan pelaksanaan projek agar siap mengikut jadual.

"Ada pelbagai peringkat projek, ada yang sudah diluluskan, sedang dilaksanakan.

"Bagi projek yang menghadapi masalah seperti lewat kita cari jalan penyelesaiannya," tambahnya.

Terdahulu Dato Sri Alexander serta rombongan telah mengadakan kunjungan terhadap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.-EDISI UKAS