21 Buah Sekolah Sertai Karnival STEM Di Mambong

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Sebanyak 21 buah sekolah di kawasan Mambong menyertai Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diadakan di Sekolah Taba Sait pada Sabtu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, penganjuran karnival yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang STEM.

Hal ini kerana, kerajaan Sarawak sedang giat menyediakan peluang pekerjaan baharu dan peluang ini seharusnya diambil sepenuhnya oleh pelajar dan komuniti di kawasan Mambong khasnya  bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Karnival STEM Mambong.

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong dan Timbalan Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menambah, penganjuran program seumpama ini yang disertakan dengan pelbagai aktiviti berkaitan STEM hendaklah diteruskan kerana ia dapat menarik minat anak-anak.

Sementara itu, program seumpama ini turut memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga untuk memberi dorongan dan galakan berterusan kepada anak-anak mereka.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan Sarawak Helmi Saini, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Dr Abang Adam Abang Deli, Pengurus Kanan TEGAS Fredick Kevin Buseli, Pengerusi Persatuan Guru Besar Kawasan Mambong Joseph Henry Nessem serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS