Aset Gerakan Koperasi Di Sarawak Cecah RM651.40 Juta

Disiarkan pada 05 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Aset gerakan koperasi di Sarawak Setakat ini sudah mencecah Rm651.40 juta dengan jumlah syer terkumpul sebanyak RM228.24 juta daripada 1,190 buah koperasi yang berdaftar. 

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, koperasi di bawah parlimen beliau merekodkan terdapat 18 buah koperasi yang telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak pada tahun 2023.

Memandangkan jumlah tersebut masih kecil, Rodiyah yang juga Ahli Lembaga Pengarah SKM berharap dapat membuka ruang dan peluang untuk mengajak lebih banyak koperasi ditubuhkan di kawasan beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Jom Berkoperasi dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Zon 3 Sungai Apin di sini pada Sabtu.

Dalam program tersebut, beliau turut menyampaikan cek  peruntukan daripada kerajaan Sarawak di bawah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) berjumlah RM18,000 kepada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Zon 3 Simunjan.

Sementara itu, beliau mewakili seluruh gerakan koperasi turut menyampaikan sumbangan kepada 60 keluarga asnaf di kawasan Zon 3 Simunjan berupa bakul makanan dan barangan keperluan asas.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah SKM Cawangan Sarawak Tan Boon Khin, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd Rizal Zakaria, Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sungai Apin Chuding Karok, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali dan Ketua Zon 3 Sungai Apin Mohd Al-Saqaf Mohd Jaafar. -EDISI UKAS