KUCHING: Pengambilan guru khas untuk Sarawak hampir selesai, namun masih terdapat banyak kekosongan setakat ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, beliau menjelaskan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menangani isu ini dan satu taklimat mengenai perkembangan tersebut telah diadakan baru-baru ini.
Tambah beliau, meskipun terdapat ramai pemohon, jumlah calon yang benar-benar layak masih rendah.
“Kekurangan calon ini berpunca daripada syarat kelayakan, di mana mereka yang mempunyai ikhtisas dalam pendidikan tidak begitu ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Borneo International Robot Tournament 2025 di sebuah hotel di Kuching pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri, sebanyak 96 peratus sekolah di Sarawak telah mempunyai guru bagi mengajar subjek yang diperlukan.
Tambahnya, pihak kerajaan berharap graduan dari institut pendidikan guru yang akan menamatkan pengajian dalam masa terdekat dapat mengisi kekosongan sedia ada.
“Secara purata, hanya terdapat satu kekosongan guru bagi setiap sekolah. Sarawak mempunyai lebih 1,200 sekolah, termasuk sekolah rendah dan menengah,” ujar beliau.
Menyentuh isu calon guru yang menolak penempatan di kawasan luar bandar, Dato Sri Roland berkata, perkara itu bergantung kepada pilihan individu.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada guru yang menolak penempatan akan disenarai hitam, jelas beliau perkara itu terletak di bawah bidang kuasa SPP.
“Jika mereka menolak, mereka tidak akan mendapat peluang itu lagi. Itu adalah keputusan mereka sendiri,” katanya lagi.-EDISI UKAS