MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menegaskan bahawa tindakan segera akan diambil bagi menangani masalah hakisan pantai yang semakin serius di Pantai Lutong.
Dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Piasau pada Isnin, beliau memaklumkan bahawa isu hakisan ini telah dibincangkan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin serta Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang.
“Kami telah mengadakan perbincangan aktif mengenai isu ini dan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof untuk memohon tindakan segera,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa projek pemulihan hakisan tersebut dianggarkan menelan belanja RM45 juta.
Namun, memandangkan keadaan yang semakin kritikal, pihaknya telah memohon peruntukan awal sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja sementara untuk menstabilkan kawasan terjejas dan mengelakkan kerosakan lebih lanjut.
“Pada pagi ini (Isnin) jam 10.19 pagi, pejabat Timbalan Perdana Menteri telah memberi maklum balas dan mengarahkan supaya kerja sementara dimulakan segera,” tambahnya.
Beliau juga memberi amaran bahawa kelewatan dalam menangani masalah ini boleh menyebabkan keadaan semakin buruk, terutama dengan musim hujan yang sedang melanda.
“Jika jalan terus terhakis, bukan sahaja kos pemulihan akan meningkat, tetapi keselamatan penduduk setempat juga akan terjejas,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, pihaknya telah berhubung dengan JawatanKuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dan JawatanKuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri bagi mendapatkan dana kecemasan.
Selain itu, beliau juga telah meminta pihak polis untuk meletakkan tanda amaran di lokasi berisiko tinggi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya berharap masyarakat memahami situasi ini dan bersabar sementara kerja pemulihan dijalankan.
"Kami akan terus berusaha memastikan tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah ini,” katanya.-EDISI UKAS