PADAWAN: Laporan perbelanjaan perlu disediakan dengan penuh ketelusan bagi mengelakkan sebarang ketirisan dana.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Jalan dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil berkata, setiap penerima bantuan diwajibkan menghantar laporan kewangan secara berkala kepada pihak berkuasa,
“Hal ini termasuk menjalani proses audit yang rapi bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap program ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Laporan Kemajuan Projek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Pejabat Daerah Kecil Padawan, pada Isnin.
Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai keupayaan beberapa gereja dalam menguruskan dana secara berhemah.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak pengurusan di peringkat akar umbi diberikan bimbingan dan latihan yang mencukupi bagi memastikan penggunaan dana yang lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu turut menegaskan kepentingan pengurusan kewangan yang kukuh dan penyertaan aktif komuniti bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada rumah-rumah ibadat tanpa mengira latar belakang agama.
Ujarnya, salah satu inisiatif utama yang diketengahkan ialah rancangan pembayaran baru untuk menggantikan amalan lama yang bergantung kepada permohonan tidak formal.
“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan ketelusan aliran kewangan dan memastikan setiap transaksi direkod serta diaudit secara sistematik,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip menegaskan UNIFOR bukan hanya sekadar menyalurkan bantuan material tetapi turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara komuniti pelbagai agama di Sarawak.
Jelasnya, dana yang disalurkan akan digunakan bagi memenuhi keperluan rumah ibadat seperti gereja dan kuil sekaligus mengeratkan hubungan masyarakat. -EDISI UKAS