BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang telah menyaksikan penyerahan Projek Jalan Perhubungan Desa Kampung Opar dalam sebuah majlis ringkas di sini, baru-baru ini.
Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan serta kerja-kerja naik taraf jalan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan yang menelan kos sebanyak RM426,480 dan dilaksanakan di bawah program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia.
Jambatan yang dibina mempunyai spesifikasi sepanjang 11 meter dengan kelebaran lima meter, manakala jalan di kedua-dua belah jambatan telah diturap sepanjang 60 meter bagi setiap sisi dengan projek ini telah mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan.
Ketika meninjau kawasan projek, Billy turut menasihati pihak berkaitan untuk melakukan beberapa penambahbaikan, khususnya struktur jambatan serta laluan sungai bagi memastikan keselamatan dan ketahanan jangka panjang kemudahan tersebut. -EDISI UKAS