GEDONG: Projek pembinaan jalan di Kampung Tegelam dan Kampung Sungai Alit, Gedong serta projek pembinaan jalan dari Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong, Samarahan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
Projek pembinaan jalan di Kampung Tegelam dan Kampung Sungai Alit menelan belanja sebanyak RM24.5 juta, bertujuan meningkatkan kualiti rangkaian jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna.
Jalan sepanjang 5.523 kilometer itu dibina mengikut standard JKR R2 dan dijangka siap pada 3 Oktober 2025.
Manakala, projek pembinaan jalan dari Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong, Samarahan pula melibatkan kos bernilai RM67.1 juta.
Jalan sepanjang 6.85 kilometer itu termasuk pembinaan dua buah jambatan, dibangunkan mengikut standard JKR R3 dan dijangka siap pada 16 Julai 2025.
Projek ini juga bakal menjadi laluan penghubung yang lebih pendek ke Samarahan serta memberi manfaat besar kepada sektor pertanian, pelancongan dan ekonomi setempat.
Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Gedong dan Pusat Khidmat Gedong telah mengadakan sesi taklimat dan lawatan ke dua tapak projek pembangunan infrastruktur di daerah ini pada Isnin.
Pegawai IRSDA dan agensi pelaksana turut memberi penerangan terperinci serta melakukan pemantauan rapi bagi memastikan projek berjalan lancar dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Lawatan ini juga memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk menilai keadaan lokasi serta mengenal pasti sebarang isu yang mungkin timbul sepanjang pelaksanaan projek.
Dengan adanya projek pembangunan ini, penduduk setempat bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, selari dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah ini.
Antara yang hadir dalam sesi taklimat dan lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas IRSDA Anuar Da’an, Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi, Project Manager JKR Roylston Gawing Bilin serta Wakil Pusat Khidmat Gedong Kaunselor Awang Abdul Rahman Awang Hamid.-EDISI UKAS