Kekalkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian Kaum Di Sarawak

Disiarkan pada 08 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Perpaduan dalam kepelbagaian kaum penting dan perlu dijaga sebagai tunjang kepada kestabilan dan kemajuan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa komited membawa pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama, dan inilah kekuatan kita. Keharmonian yang kita bina bersama adalah kunci kepada pembangunan negeri ini. Oleh itu, kita perlu terus memupuk nilai saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Lawas di Stadium Tertutup Lawas pada Sabtu.

Dari sudut pembangunan katanya, Lawas sedang rancak menerima pembangunan termasuk di bawah Northern Region Development Authority (NRDA).

“Sejumlah 108 projek telah disiapkan, manakala 53 lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk Lapangan Terbang Lawas, pusat akuatik dan baik pulih sekolah daif,” tambahnya.

Sambutan yang penuh warna-warni itu mencerminkan semangat kekitaan dan perpaduan yang terus diperkukuh dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Turut hadir Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Datu Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah NRDA Dato Ubaidillah Abdul Latip, Pemanca Tan Yong H'ng serta Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025 Tan Tze Wee.-EDISI UKAS