Mangsa Banjir Tatau dan Selangau Terus Dibantu

Disiarkan pada 10 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasannya bagi meninjau keadaan mangsa banjir serta menyalurkan bantuan keperluan pada Ahad.

Lawatannya dimulakan di PPS Dewan Serbaguna Sekuau di mana beliau mengumumkan projek menyimen tempat letak kenderaan serta penyediaan empat buah tangki air bagi manfaat Klinik Desa Sekuau.

Seterusnya, beliau melawat PPS di Dewan Serbaguna Selangau dan mengumumkan sumbangan empat unit penghawa dingin untuk kegunaan pusat tersebut.

Turut mengiringi beliau dalam kedua-dua lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan dan Penghulu Bansa Kucau.

Edwin kemudiannya meneruskan lawatan ke PPS SMK Tatau bagi meninjau keadaan mangsa banjir di sana.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong.

Sebelum ini, Edwin telah menyalurkan pelbagai bantuan ke PPS di bawah Parlimen Selangau termasuk di Daerah Tatau dan Daerah Selangau.

Antara PPS yang menerima sumbangan ialah PPS Dewan Masyarakat Sekuau, PPS Dewan Serbaguna Selangau, PPS SJK (C) Tong Ah Selangau, PPS SK Bukit Arip dan PPS SMK Tatau.

Bantuan yang diberikan termasuk tikar getah, tangki air, air minuman dan pelbagai keperluan asas lain.

Berdasarkan rekod, beberapa PPS di Daerah Selangau telah ditutup secara berperingkat, dengan PPS terakhir iaitu PPS Dewan Serbaguna Sekuau ditutup hari ini, jam 12.00 tengah hari seperti yang diumumkan oleh Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan.

Namun di Daerah Tatau, PPS SMK Tatau masih beroperasi dengan menempatkan seramai 197 orang mangsa banjir sehingga jam 8.30 pagi pada Isnin.

Sehubungan itu, Edwin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau dan Selangau serta semua agensi yang telah bertungkus lumus dalam menguruskan bencana banjir dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan mangsa yang terlibat.-EDISI UKAS